Bila samseng berpolitik

Saya tak dan tulis banyak-banyak. Saya hanya nak mengalu-alukan perlantikan Datuk Seri Noh Omar sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, jika dia dilantik.

Tiba-tiba pula saya teringat kata orang orang tua-tua, kalau samseng, kita berlawan cara samseng. Bentong Kali dulu, orang tegur dia kencing tepi jalan pun dia tembak orang yang menegur tu. Kata-kata "api lawannya air" nampaknya tak terpakai dengan orang lagu tu.

Ayat al-Quran juga memberi dua pilihan kepada perbuatan jahat. Pertama, jahat dibalas jahat. Kedua, memaafkan adalah lebih baik. Boleh pilih mana satu.

Saya juga tertarik pantun Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat:
Kalau memilih tempat mandi, yang pertama teluk, kedua pantai.
Kalau memilih pemimpin negeri, pertama elok, kedua pandai.
Pantun itu elok ditujukan kepada proses pemilihan dalam muktamar PAS dan pemilihan PKR yang tidak kelihatan berjaya melaksanakan kehendak pantun itu.
Read On 17 comments

Sweeter than candy

Agak lewat. Tetapi masih dalam hari-hari tashriq untuk mengucapkan selamat menyambut 'Aidil Adha.

Saya juga ingin menyampaikan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua yang sudi menyantuni keluarga saya. Mohon maaf sebab mungkin ada yang saya tak ingat, maklumlah, tetapi termasuk Anissofian, Waejo, Mohd Rashidi Hassan, Haji Mahfuz Omar, Haji Husam Musa, Haji Salahuddin Ayub, Mohd Zain Hashim, Dr Nazri (hajj mabrur, insya Allah), Haji Mohamad Sabu, Kak Normah, Nurul Izzah Anwar, Ustaz Kamil, Ustaz Asri, Ustaz Hamidon, Ustaz Wanji, Ustaz Hamzah Jaafar, Abdullah, Riang Dot (tak nak sebut nama hang di sini) dan Dr Azizah, Ahmad Lutfi Othman, Fatimah (Tim), Rafidah Zuraini dan Hashim serta ramai lagi yang saya mohon maaf sekali lagi sebab tak ingat. Penghargaan tak terhingga juga kepada kakak-kakak dan adik-adik serta keluarga mereka.

JazakumuLlahu khairan kathira kerana ihsan, doa, solat hajat dan munajat di tanah suci, keprihatinan dan simpati. Saya terhutang budi,

Terima kasih tak terhingga juga kepada A Voice yang sudi menghantar ucapan sempena 'Aidil Adha.
Read On 4 comments

PKR dikepalai "Khir Toyo"? Na'uzubiLlah!

Orang tanya saya, bagaimana sikap saya terhadap pemilihan Timbalan Presiden PKR? Saya jawab, sama macam pilihan raya la. "Lagu mana tu?"

Saya jawab, dalam pilihan raya, keinginan utama saya ialah melihat Umno Barisan Nasional (BN) kalah. Takat tu saja. Kalau saya undi calon parti lain pun, ia tidak bemakna saya ada "rasa positif yang tak ketahuan" terhadap parti yang saya undi calonnya itu. Saya guna perkataan "rasa positif yang tak ketahuan". Memang. Langsung tidak ada perasaan itu. Tidak ada sama sekali.

Tetapi saya taklah berbohong kepada Mamat itu dan saya beritahu jugak kat dia bahawa ketika saya dan isteri saya mengundi Nurul Izzah Anwar di Lembah Pantai dalam pilihan raya 2008 lalu, kami memang mempunyai perasaan yang sayu terhadap beliau. Saya tak tahu apa perasaan isteri saya, tetapi saya sendiri lebih bersimpati kepada anak isterinya berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sejak beliau menghadapi pelbagai tuduhan dan pendakwaan 1998 lalu.

Saya tak nak poyo-poyo untuk mengambil hati sesiapa pun. Ketika beliau menghadapi pelbagai masalah, saya tidaklah bersimpati kepada Anwar kecuali ketika beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum beliau didakwa dan ketika beliau dibelasah di dalam tahanan. Saya beritahu kawan-kawan yang mula nak menyindir saya ketika itu: "Kalau babi kena ISA pun, aku tak setuju".

Jauh dah terlajak tu. Berbalik kepada pemilihan Timbalan Presiden PKR. Saya sebut dah bahawa sikap saya sama seperti ketika menghadapi pilihan raya. Dalam pilihan raya, yang penting bagi saya Umno BN kalah walaupun saya tidaklah memandang parti lain dengan pandangan yang positif. Begitu juga dalam pemilihan Timbalan Presiden PKR. Yang penting bagi saya, asal bukan Azmin Ali.

Bukan kerana saya menyokong calon lain, tetapi kerana saya tak nak Azmin. Itu sahaja sebabnya. Saya tak naklah menyentuh sikap Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Ismail dan Nurul Izzah. Mat Saman Kati kata, Dr Wan Azizah mempunyai sikap "asal bukan Azmin" menjadi Timbalan Presiden PKR. Saya juga mendengar beberapa wartawan memberitahu saya bahawa Nurul Izzah menegaskan dengan terus terang kepada mereka dalam pertemuan di bangunan Parlimen (kebetulan sekarang Dewan Rakyat bersidang) bahawa beliau tidak suka Azmin. "I dont like Azmin," beberapa wartawan memetik Nurul Izzah sebagai berkata.

Awal pagi tadi, saya diberitahu dalam pertemuan di Petaling Jaya bahawa "yang makan hati sekarang (dengan kemenangan Azmin yang hampir pasti) ialah Wan Azizah dan Nurul Izzah". Yang beritahu saya bukan Mamat tepi jalan, tetapi salah seorang pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang sebelum itu mengadakan pertemuan dengan beberapa aktivis PKR termasuk salah seorang pemimpin tertingginya.

Saya tak nak ulas sikap mereka kerana saya dan beberapa kawan yang sering minum bersama di Seri Gombak ketika Reformasi membara hujung 90an dulu sudah awal-awal lagi tidak percayakan Azmin dan Ezam Mohd Nor. Banyak peristiwa selepas itu yang menguatkan rasa tidak percaya kami. Sebab itulah, saya tak nak cakap dari sudut pandang Dr Wan LinkAzizah atau Nurul Izzah.

Saya nak cakap sebagai rakyat. Gini, sebagai parti politik, PKR menawarkan dirinya kepada rakyat. Dengan meletakkan beliau sebagai Timbalan Presiden parti itu hari ini, satu hari nanti Azmin mungkin akan mengepalai PKR. Masya Allah! PKR under the leadership of Azmin is the last thing i will ever imagine! Most dreaded!

Takat tu ja la yang saya nak tulis. Lebih-lebih pun buat apa. Tinggal lagi nak tanya, saya seorangkah yang berperasaan sedemikian?

Berkaitan:
Antara ketirisan dan salahlaku dalam proses pemilihan PKR (9/11/10)
Borang Cuti (Mat Saman Kati 10/11/10)
Read On 44 comments

"God's command" demi meneruskan kuasa Umno

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Subang Jaya dari MCA, Datuk Lee Hwa Beng menyatakan Tuhan memerintahkan orang-orang Kristian supaya menentang negara Islam (lihat Malaysia Today hari ini "MCA man says God commands Christians to fight Islamic state"). Saya tak kisah. Itu kepercayaannya.

Kalau Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) itu kata begitu, saya pula nak kata Allah s.w.t. memerintahkan kami orang-orang Islam melaksanakan hukum-hukum Islam. Perkara itu wajib bagi kami. Oleh kerana hukum-hukum itu tidak boleh dilaksanakan di dalam vacuum dan memerlukan time and space, ia memerlukan wilayah. Suka hatilah nak namakan wilayah yang mesra Islam dan hukum-hukumnya itu sebagai apa pun - nak kata negara Islam ka, apa ka, ikut suka hampalah.

Datuk, you have your own kind of God's command, we have ours too.

Tetapi, yang menariknya ialah apabila beliau mengeluarkan kenyataan itu kerana kepentingan politik partinya serta abang besarnya, Umno, hendak mendapatkan kembali undi orang-orang Cina.

"Sebagai penganut Kristian, kita seharusnya bimbang kepada negara teokrasi Islam lebih dari yang lain. Kenapa DAP membantu PAS mencapainya?" kata beliau.

Seronok kita tengok apabila parti-parti dalam Barisan Nasional (BN) berebut-rebut menggunakan sentimen agama untuk menakut-nakutkan pengundi. Bila pengundi Cina takut kepada DAP dengan menjadikan PAS sebagai hantu, MCA untung. Bila pengundi Melayu takut kepada PAS dengan menjadikan DAP sebagai hantu, Umno untung.

Game yang mereka main sangat mudah dan direct serta tidak berbelit-belit tipu helahnya. Yang hebatnya, ramai yang berebut-rebut pula mempercayainya.

Saya tidak fikir DAP menghadapi masalah. Umno boleh buat apa saja. Ia tidak terjejas. Parti itu bukan nak sangat undi orang-orang Melayu. Pengkalan kuasanya di kawasan-kawasan pengundi Cina. MCA boleh histeria sampai mati. Tak jadi kudis kepada DAP. Pengundi Cina begitu ramai yang membenci Umno dan pak yet-pak yetnya di dalam BN. Di kawasan-kawasan majoriti Cina, MCA dan Gerakan berkemungkinan besar tidak akan menang. DAP mungkin akan menyapu bersih kawasan-kawasan itu.

Saya kasihan kepada PAS. Pengundi Melayu kebanyakannya percaya kepada propaganda pengkhianat-pengkhianat Melayu dan Islam yang memimpin Umno di pelbagai peringkat. Propaganda pemimpin-pemimpin Umno itu masuk ke dalam telinga orang-orang Melayu bagaikan sabda suci.

Adakah nak marah kepada Umno? Nak marah buat apa? Depa cerdik untuk mempertahankan kesedapan mereka kini merembat harta negara. Depa pandai gunakan sentimen Melayu. PAS pula teraba-raba dan terkial-kial. Saya tak nak la kata PAS tak cerdik.

Yang penting, bagaimana senario selepas pilihan raya umum akan datang? Dengan api perkauman Melayu yang dimainkan oleh Umno, saya menjangkakan calon-calon Melayu yang sebahagian besarnya dari PAS akan tewas kepada calon-calon MCA, MIC dan Gerakan di kawasan-kawasan majoriti Melayu yang disedekahkan oleh Umno kepada parti-parti itu. Dengan "jihad" orang-orang Umno membakar sentimen Melayu dan menjadikan DAP sebagai hantu, ramai calon-calon MCA, MIC dan Gerakan akan menang di kawasan-kawasan majoriti Melayu mengalahkan "boneka" DAP termasuk dari PAS.

Selepas pilihan raya umum nanti, kita akan melihat ramai pemimpin negara dari BN seperti Lee Hwa Beng yang bercakap tentang "God's command". Terima kasih Umno. Terima kasih Perkasa.
Read On 27 comments

Hooray! Rosmah tetap de facto PM selepas pilihan raya ke-13

Semalam, dalam artikel bertajuk "Play the game according to the ‘rules’ or else quit the game," Raja Petra Kamarudin tulis:
Zaid has to be consistent. If he wants to be seen as a man of principles, and if he claims that the party election is fraudulent, then there are no two ways about it. Zaid must walk the talk or else be known as a man who pulls his principles out of his pocket only when it works against him but will leave his principles hidden in his pocket when he can profit from it.
Hari ini, selepas mengumumkan menarik diri dari pertandingan Timbalan Presiden PKR, Datuk Zaid Ibrahim dipetik oleh Malaysian Insider sebagai berkata:
"I don’t think anyone wants me now ... I will stay on (as a PKR member). But that is all I can do for now" (lihat "Zaid: I don’t think anyone wants me now")
Dari awal lagi, dengan usaha habis-habisan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan Azmin Ali menjadi Timbalan Presiden PKR dan segala amalan yang nampak tidak adil dan tidak bersih kian menjadi-jadi dalam pemilihan PKR terutama pemilihan jawatan nombor duanya, ramai yang yakin Azmin pasti akan menjadi Timbalan Presiden. Saya dah lama yakin 100 peratus.

Saya tidak suka Azmin. Tetapi kalau demokrasi memilih Azmin sebagai Timbalan Presiden PKR, saya tak boleh buat apa-apa sambil menyimpan rasa tak suka.

Ia sama seperti saya tak suka Tun Dr Mahathir Mohamad atau Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri ketika mereka memegang jawatan itu dahulu (zaman Tun Hussein Onn atau dua Perdana Menterui sebelumnya naik, saya tak berapa ketahuan lagi bab-bab politik ni). Ia sama seperti saya tak suka Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri dulu. Ia juga sama seperti saya tak suka Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri kini atau Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Saya benar-benar tak suka. Tetapi oleh kerana demokrasi telah memilih mereka, saya terpaksa merelakan status quo walaupun rasa tak suka bengis membara.

Sambil itu, saya tetap mempersoalkan proses demokrasi yang mengangkat mereka. Saya tetap tidak yakin proses demokrasi negara ini berjalan adil dan bersih. Tak yakin langsung.

Begitu juga, saya tetap tidak yakin proses pemilihan di dalam PKR berjalan adil dan bersih. Tetapi, tentulah kita tidak boleh mengharapkan Tian Chua memimpin demonstrasi Bersih di hadapan pejabat PKR di Merchant Square.

Ketika demokrasi berdarah dan bernanah di dalam PKR dan PAS pula sedang basah berpeluh bermain kejar-kejar dengan undi Melayu, saya tertarik dengan komen di bawah tulisan Zaid bertajuk "Withdrawal from Deputy President contest" di dalam Malaysia Today hari ini:
BN and especially Najib/Rosmah are laughing their way to PUTRA JAYA again come next GE.
Memang benar, jika orang-orang Umno tidak jatuhkan Najib, Datin Seri Rosmah Mansor akan tetap menjadi Perdana Menteri de facto selepas pilihan raya umum akan datang.

Menghadapi keadaan itu, ramai kawan yang marah kat saya apabila saya kata kita undi calon yang tak karut-marut sahaja. Yang karut-marut tak payah pergi mengundilah dan kalau mereka bertanding di tempat kita, kita pergi tempat lain untuk membantu calon-calon yang tak karut marut. Namun mengundi mereka apa lagi calon Barisan Nasional (BN), na'zubiLahi min zalik.

Saya bernasib baik kerana tidak mengundi di Gombak, Gombak Setia atau Sala umpamanya (sekadar menyebut beberapa contoh dan dengan mengambilkira jika wakil Pakatan Rakyat yang menawarkan diri kelak masih lagi orang yang sama seperti pilihan raya 2008 lalu). Saya harap Nurul Izzah Anwar yang saya dan isteri saya undi di Lembah Pantai tidak berubah menjadi buruk kelaku.

Baca ini:
Zaid’s political secretary Rashid Azad Khan said the polls should be called off in view of allegations of irregularities and claims of phantom voters.

“For example, our polling agent reported that the voter turnout in Kubang Pasu was only 84.

“But the initial vote tally showed that Azmin clinched 80 votes while Zaid garnered 76 votes.

“Where did the additional 72 votes come from? Could they be phantom voters?’’ he asked.

Rashid also said the agents had reported that there was a 30-minute blackout immediately after balloting ended at 4pm Friday.

“Candidates’ agents were not allowed in, and the ballot boxes were not sealed at the time,’’ he claimed, adding one of the election officer was caught on camera wearing Azmin’s campaign badge raising questions over their impartiality.

Rashid claimed that following complaints, the election monitor decided that the Kubang Pasu result should be a tie of 81-81.

“I am appalled. How can the results simply be amended?’’ he asked (baca selanutnya dalam The Star 30/10/10 "PKR polls: Zaid leading amidst allegations of phantom voters, irregularities")
Berkaitan:
Undi telefon. Politik baru dalam PKR (Mat Saman Kati 18/11/10)
Read On 23 comments

Adakah Saifuddin sanggup dilihat tak bersih?

Walaupun tak rapat dengan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, tetapi saya kenal dia dan dia kenal saya. Saya sebenarnya pernah buat dajai kepada Saifuddin. Satu hari, selepas mengisytiharkan diri menyertai Umno bersama-sama Datuk Nakhaie Ahmad penghujung lapan puluhan dulu, Saifuddin tiba-tiba naik atas pejabat Harakah untuk bersembang dengan Redhuan Daniel Onn (juga menyertai Datuk Zahid Hamidi dan menampilkan muka mesra Barisan Nasional menjelang pilihan raya 1995 kalau tak silap).

Bila tengok Saifuddin yang baru masuk Umno tiba-tiba tercokol dalam pejabat Harakah, saya naik angin dan halau dia. Saya pantang sangat orang yang cakap Islam masuk Umno. Meluat kat PAS tak pa, saya pun meluat dengan banyak pihak di dalam PAS. Tapi jangan masuk atau sokong Umno.

Sebab itulah saya tak pernah tegur orang-orang Abim yang mengekori Datuk Seri Anwar Ibrahim masuk Umno. Terngiang-ngiang kata-kata orang kampung saya, Dr Mohd Noor Manuty kat saya di Restoran Mummy Seri Gombak kira-kira 10 tahun dulu, "hang dulu bukan nak tegoq saya". Saya jawab balik, "Ya la. Dulu Ustaz Umno". Saya beritau dia, siang malam saya berkawan dengan orang Umno. Tetapi orang gerakan Islam masuk Umno, saya benci!

Selepas peristiwa saya menghalau Saifuddin dari pejabat Harakah itu, saya tak pernah jumpa lagi Mamat tu hinggalah dia keluar Umno.

Memanglah, kali pertama saya berjumpa semula dengan Saifuddin apabila dia dah keluar Umno, perasaan segan menyelubungi jiwa. Dengan malu-malu saya kata, "Aku mintak maaf la apa aku buat kat hang dulu". Saya tak ingat apa jawapan Saifuddin. Tapi saya sangka sorang-sorang bahawa beliau telah pun memaafkan saya.

Bila dia dah jadi orang PKR, saya beberapa kali berurusan dengan Saifuddin pada pilihan raya 2004. Dia bertanding di DUN Kubang Rotan masa tu. Kubang Rotan dalam kawasan Parlimen Kuala Kedah. Pada masa itu saya membantu Haji Mohamad Sabu yang mempertahankan kerusi Kuala Kedah yang dimenanginya dalam pilihan raya 1999. Mat kalah sampai sampai 10,000 undi lebih (aku tergelak sakan tengok result tu, maklumlah persempadanan semula kawasan pilihan raya 2003 yang bunuh begitu banyak kawasan majoriti Melayu). Din dah tentu la kalah. Lawan Menteri Besar Kedah pada masa itu, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain (setahu saya Syed Razak tak la jakun sangat dapat jadi Menteri Besar macam...)

Saya cerita pengalaman kontot saya berurusan dengan Saifuddin untuk menyatakan Saifuddin yang saya tahu adalah seorang ahli politik yang rajin kerja dan kerjanya juga agak sistematik. Dia agak teliti. Dia ada sifat-sifat tu walaupun tak la hebat sangat (saya hanya cerita sisi positifnya sahaja sebab kalau nak cerita buruk orang sampai pagi esok pun tak habis).

Tetapi, apabila baca terjemahan Mat Saman Kati "Kak Wan…aku nak buat apa dengan kertas undi ini?" dan laporan Malaysian Insider hari ini "Dakwaan blogger Haris kertas undi dijual kenyataan liar, kata SU Agung PKR", saya tertanya-tanya adakah Saifuddin sudah dimamah usia dan semakin hilang ketelitian dan sentuhan-sentuhan kerja bersistemnya?

Atau, adakah Saifuddin secara sukarela bertindak dengan cara yang menyebabkan beliau dilihat memberi kelebihan kepada Azmin Ali (harap baca "Pemilihan PKR: "Khir Toyo" mendahului")? Kalau tak sukarela, adakah dia terpaksa? Saya tak tuduh dia memberi kelebihan kepada Azmin. Tetapi sah-sah Saifuddin dilihat memberikan kelebihan kepada Azmin. Mengapa beliau dilihat begitu?

Saifuddin mungkin bersih, jujur dan tidak terlibat dalam apa-apa pakatan jahat. Masalahnya, walaupun beliau mungkin bersih, Saifuddin tidak dilihat bersih dalam mengendalikan pemilihan PKR.

Kalau dia bertindak secara sukarela, saya harap satu hari saya dapat bertanya Saifuddin kenapa dia rasa Azmin baik sangat ketika ramai sungguh rakyat termasuk saya yang tidak mahukannya? Kalau dia terpaksa, siapa yang paksa? Azmin? Atau Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Tidak mungkin Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail yang paksa. Mat Saman Kati melaporkan, Kak Wan bersikap "asal bukan Azmin" menjadi timbalannya.

Bercakap fasal Kak Wan, adakah beliau kini makan hati dengan pelbagai perkara buruk dalam pemilihan PKR? Adakah Nurul Izzah juga makan hati? Saya dan isteri saya bukan sahaja pengundi Nurul di Lembah Pantai (malas nak ubah nama saya di Lembah Pantai yang berdaftar di situ sejak hujung lapan puluhan), malah saya juga sokong Nurul sebagai pemimpin masa hadapan sambil berharap agar kelaku dia kekal elok dan diperelokkan. Jangan berlagak diva.

Kalau sungguh begitu, tak pa, Kak Wan. Kami, rakyat yang tak suka Umno, bukan takat lawan parti itu sahaja. Kami juga berlawan dengan klon-klon Umno di dalam Pakatan Rakyat (PR). Kami rakyat, kami tak ada kepentingan nak berebut kuasa. Kami buat apa yang kami dapat buat untuk memastikan anak cucu kami tidak terus dicengkam oleh kerajaan yang terlampau kurang ajaq sangat macam Umno walaupun kerajaan lain pun tidaklah bersih dari perangai kurang ajaq.
Read On 20 comments

Kota Damansara berlendir dosa

Kota Damansara khabarnya berlendir dosa (lihat Malaysia Today 6/11/10 "Kota Damansara, Selangor’s new Sin City"). Saya tak terkejut. Banyak tempat dalam negara ini yang menjadi lubuk dosa, lembah dosa.

Yang sakit hatinya ialah apabila dikaitkan fenomena hanyir itu dengan buruk kelaku orang-orang Pakatan Rakyat (PR) mentekedarah rasuah dari duit lendir dosa itu.

Rumah urut, pub dan bar tumbuh macam cendawan. Apabila pegawai penguatkuasa hendak bertindak, celaka-celaka dari PR dikatakan menghalang mereka. Setan-setan ini mesti diajar.

Saya rakyat yang berusaha memastikan negara ini adalah negara yang selamat untuk didiami anak cucu saya. Bunyinya selfish - mementingkan diri. Tetapi kalau anak cucu aku mendapat kerajaan yang tak kurang ajar sangat, anak cucu orang lain pun dapat.

Insya Allah, saya akan mengumpul beberapa kawan-kawan untuk melakukan apa yang terdaya. Langkah pertama, kumpul kawan-kawan dulu. Lepas tu kita bincang nak buat apa. Kemungkinan mengadakan demonstrasi tidak ditolak.

Sementara itu, kalau Perkasa ka, Umno ka nak buat demonstrasi, suka hati hampalah. Asal niat baik kerana hendak mendekatkan diri kepada Allah, insya Allah dapat pahala.
Read On 15 comments

PAS, please dont tag along idiotically

Dalam postingnya bertajuk "Setelah Galas, jangan malas," Dato' Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz menyatakan:
Maka persoalan yang harus di pertimbangkan oleh Mustapha ialah adakah puak Umno sanggup mengulangi cara kempen di Galas? Apakah cara kempennya? Cara yang lebih subdued dan muted.
Bernama pula melaporkan, strategi kempen oleh Tengku Razaleigh berjaya mengelak bandar Gua Musang dilanda kesesakan lalu lintas atau "jerit pekik" penceramah pada waktu malam (lihat mStar 29/10/11 "Penduduk suka kempen bersemuka di Galas").

Sambil menghormati dan mengakui kejayaan strategi Ku Li itu, saya bimbang selepas ini pakar-pakar strategi yang tidak strategik serta pakar-pakar taktik yang tidak taktikal di dalam PAS akan menjadi ghairah terlampau untuk mempamerkan kehebatan taktik dan strategi mereka lalu mencadangkan supaya parti itu meniru secara bongok apa yang dilakukan oleh Ku Li.

"Ana nampak tak kena dah cara kita sekarang. Ceramah-ceramah ni tak ada kesan. Betul dia orang kata, bising tengah-tengah malam, jalan sesak... Ana nampak apa yang Ku Li buat di Galas lebih berkesan".

Adoi la! Bimbang sungguh aku kalau ada Mamat tongong yang cakap macam tu dan ketongongan itu pula dianggukkan dengan penuh bangang oleh kawan-kawannya.

Assalamu'alaikum ya akhi mukhtaram! Umno dan Barisan Nasional (BN) memang tak payah buat ceramah sebab depa hari-hari ceramah dalam rumah hampir semua pengundi. TV hari-hari ceramah (kesian orang yang bayar kat Awani untuk dipropaganda dan dibiulkan supaya menyokong BN), radio hari-hari ceramah, Utusan Malaysia, Berita Harian, apa menatang surat khabar harian pun hari-hari berkempen untuk BN.

Jangankan semua itu. Dalam blog cikai aku ni pun puak-puak Umno dok berkempen sakan dalam ruangan komen. Dulu aku pernah tekan reject sebab aku fikir hampa dah ada segala macam media dah, takkan dalam blog cikai ni pun hampa nak menyalak jugak. Tapi fikir-fikir, lantak pi lah. Yang saya click spam la ni hanyalah komen-komen yang membusukkan nama Islam yang ditulis oleh orang Islam sendiri.

Yang saya nak habaqnya, Umno BN terlalu mewah dengan pelbagai media. Buat ceramah pun buat rugi bateri ja, orang bukan datang sangat pun. Bila ceramah Umno orang tak ramai, puak-puak pembangkang pun mengejek-ejek. Tengok-tengok bila keluar keputusan, BN menang. Ambik habuan!

Ketika ceramah tetap menjadi medium pembangkang untuk membina mood rakyat, ketika pembangkang tidak mewah dengan pelbagai media, bayangkan jika tiba-tiba pakar strategi PAS mahu menjadi kucing peniru kepada apa yang dilakukan oleh Ku Li itu. Saya teringat ayat yang ditulis oleh A Voice - Dumb PAS are just tagging along idiotically (lihat di sini).

Saya dah tak larat nak tengok para pemimpin PAS tak serik-serik menjadi tukang mengekor. Di Kuala Lumpur, Presiden PAS dan beberapa tukang kipasnya mengekori ajaran sesat bekas Ketua Staf Perisikan Pertahanan (KPPP), Leftenan Jeneral Datuk Wan Abu Bakar Omar. Khabarnya sampai sekarang (itu fitnah ~penarik beca!) Di Ipoh dahulu, Haji Mohammad Nizar Jamaluddin tak puas-puas menjadi pak yet Datuk Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming sehingga memaksa saya menulis apa yang saya tulis sebagai "Perjanjian Pangkor II".

Sudah-sudahlah menjadi pak yet orang! Sudah sampai masanya para pemimpin PAS memikirkan apakah X Factor yang boleh membina mood dan sentimen umum untuk menolak Umno BN. X Factor yang baru amat diperlukan. Mengulang-ulang X Factor yang lama seperti percubaan untuk mewujudkan Bersih II tidak akan menarik perhatian rakyat.

Sambil mengakui kehebatan jentera amat diperlukan (saya difahamkan jentera pilihan raya PAS yang paling strategik dan efficient selepas pilihan raya umum 2008 ialah jentera dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu - ia patut diulangi), pembinaan mood dan sentimen rakyat amat penting. Tanpa mood dan sentimen yang digelombangkan seperti tahun 1990, 1999 dan 2008, PAS akan tertungging hangit seperti kecundangnya Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Cik Gu Mohd Zain Abdullah di Bachok pada pilihan raya umum 1986 (Imej di atas ihsan Malaysiakini)
Read On 14 comments

Menggalas kebijaksanaan kontot strategis PAS

Dalam berita bertajuk "DAP akui kempen 1Malaysia berjaya di Galas", Malaysiakini hari ini melaporkan:
DAP mengakui bahawa kempen 1Malaysia oleh Barisan Nasional (BN) berjaya membantu BN merampas DUN Galas dalam pilihan raya kecil yang berlangsung hari ini.

Pengarah Pilihanraya DAP, Thomas Su berkata pilihan raya kecil hari ini juga menyaksikan kemerosotan sokongan pengundi Cina kepada Pakatan Rakyat.
Saya tidak fikir orang-orang Cina di Galas bodoh sangat. Jika benar mereka memang tak mahu mengundi Barisan Nasional (BN), tidak semudah itu mereka boleh ditipu oleh kempen 1Malaysia itu.

Saya masih yakin sebab sebenar ialah seperti yang ditulis oleh Raja Petra Kamarudin ketika meramalkan PAS akan kalah di Galas. RPK begitu yakin dengan ramalannya sehingga beliau berkata, "Let’s hope I don’t get to say ‘I told you so’ after the Galas and Batu Sapi by-elections. Let’s hope the opposition, for once, gets to prove me wrong. I would love to be proven wrong and having to eat my words once the by-election results are in".

Mengapa RPK begitu yakin orang-orang Cina di Galas tak akan undi PAS? Menurut beliau, ini sebabnya:
What the MCA Youth chief said is actually quite true. And when the government leaders say something that is true we should admit so and not disagree with them just because they stand on the opposite side of the political fence. The Chinese from the three villages in the Galas constituency are very angry with the state government. And this anger has been there for some years now.

The state normally appoints the ketua kampung or village heads as well as the local councillors -- as there are no local council elections as what we from the civil society movements would like to see. Most times these village or council heads would be cronies of those in power. That is sort of how politicians reward their supporters -- by giving them positions in the local councils and villages.

But these Chinese heads of the villages have been behaving like Little Napoleons or warlords (taiko in Chinese). And they have been bullying the Chinese villagers.

For example, in one incident, the Chinese villagers had applied for a piece of land to build their temple. However, since that land is a very nice piece of land the Chinese village head hijacked it for his holiday resort. This has of course angered the Chinese villagers.

Complaints have been made to the state, in particular to Husam Musa, but no action was taken and these gangster village heads continue to terrorise the Chinese villagers. So now it is payback time. The villagers are going to teach the state a lesson by voting for Umno -- whereas it was the Chinese votes that gave that Galas seat to the opposition in the last election (baca selanjutnya dalam tulisan beliau pada 24/10/10 lalu "MCA is actually right").
Bagi saya, saya tetap menyukai pilihan raya kecil Galas kerana pilihan raya itu memberi peluang kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuktikan kebijaksanaan serta kehebatannya setelah beliau menekankan bahawa Datuk Abdul Halim Abdul Rahman "tajam" ketika berkeras hendak melantik Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu sebagai Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat selepas Muktamar PAS 2009 lalu.

Saya tahu Abdul Halim memang hebat dan tajam sejak pilihan raya kecil Sungai Besar lama dahulu - iaitu dalam tahun 80an. Masa tu calon PAS ialah Allahyarham Ustaz Abdul Razak Dawami manakala calon Barisan Nasional (BN) kalau tak silap ialah ialah Mahbob Hashim.

Abdul Halim berpesan kepada ahli-ahli dan para penyokong PAS yang mengiringi calon ketika itu supaya jangan bertakbir. "Nanti orang takut," dakwa beliau.

Ketika seruan takbir bukan sahaja menjadi seruan PAS (lihat di sini) malah menjadi bagaikan menjadi "brand" PAS pada masa itu malah sehingga kini, ramai yang terkedu dengan kebijaksanaan strategis pilihan raya PAS yang bernama Abdul Halim Abdul Rahman itu.

Abdul Halim tak pernah kacau saya. Tak ada sebab saya nak memusuhinya. Tetapi, sebagai rakyat Malaysia yang mengharapkan sangat Umno dihambat dari puncak kuasa, saya sangat berharap Abdul Halim tidak menjadi Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat.

Bersama-sama Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Abdul Halim juga adalah antara orang yang memungkiri janji PAS yang kononnya tak mahu menyerang Tengku Razaleigh Hamzah. Kalau tak pandai menepati janji, janganlah berjanji.

Malang bagaikan bertimpa-timpa. Ketika PAS dilihat bodoh melantun-lantun ketika membuat keputusan tak mahu menyentuh isu royalti minyak yang merupakan pengkhianatan Umno Kelantan terhadap negeri itu kerana kononnya menghormati Ku Li, pada masa yang sama parti itu tidak pula menghormati janji untuk tidak menyerang Ku Li ketika janji itu tersiar dalam media-media.

Saya tak nak sentuh la tentang gatal mulut fasal tambang RM250 dan dakwaan seorang rakan dari Kelantan yang mendakwa kononnya ada keputusan yang "menswastakan" kerja mendekati Orang Asli kepada pihak lain. Saya harap tak benar. Jika benar, strategi itu dituduh orang sebagai strategi bodoh.

Saya juga tak nak sentuh sikap Suruhanjaya Pilihan Raya yang berkeras mengkategorikan duit zakat kepada muallaf sebagai rasuah. Saya dah tulis di sini.

Saya berharap mesyuarat pakar-pakar pilihan raya selepas ini membincangkan silap besar strategi dan strategis PAS dan bukan membincangkan soal remeh seperti "bakaq tahu kerana orang yang sealirang bagi tau" atau ada pemimpin tertinggi PAS yang tak fikir-fikir lagi menyatakan "itu fitnah ~penarik beca" seperti yang dilontarkannya ketika saya mendedahkan buruk kelaku berkendak politik dalam gelap dengan Umno dahulu.

Soal sama ada bakaq ini musuh PAS atau tidak, itu tak penting. Tidak mengapa dan tidak penting kalau saya dianggap musuh, blogger celaka, fasiq, Yahudi, kafir atau apa sahaja. Soal yang lebih penting untuk dibincangkan ialah kebijaksanaan kontot PAS yang semakin kudung dalam menghadapi musuh politiknya yang kebetulan menjadi public enemy nombor satu - Umno.

Berkaitan:
Habuan pilihan raya: Ratusan lagi beratur untuk RM250 (Malaysiakini 4/11/10)
Galas polls riddled with abuses, says watchdog (FMT 4/11/10)
Double BN win riddled with ambiguity (Malaysiakini 5/11/10)
Ku Li delivers, what has Umno to offer? (FMT 5/11/10)
When the people are high on peyote... (Malaysiakini 5/11/10)
'BN's reign will not end so soon' (Malaysiakini 5/11/10)
Analysts: BN's double whammy a turning point (Malaysiakini 5/11/10)
Galas berubah: Sebab PAS gagal, tapi BN capai sasaran (Malaysian Insider 5/11/10)
Yang tersirat di Galas dan tersurat di Batu Sapi (Malaysian Insider 5/11/10)
DUN Galas: PAS juga terkejut, anggap kekalahan luar dugaan (Malaysian Insider 5/11/10)

Image from here.

Gambar hari pilihan raya kecil Galas di atas ihsan Poji

Doctored photo di atas copy and paste dari ruangan komen Malaysia Today di bawah tajuk
"Let's see what the prince will do next"

Read On 35 comments

Jangan buka pintu fitnah dalam tempoh berkempen

Dalam pilihan raya, masa sentiasa tidak cukup. Sedikit masa yang ada sepatutnya digunakan untuk menghimpit lawan ke tepi. Masa tidak sepatutnya dibazirkan untuk mempertahan atau menjelaskan kesilapan atau kesalahan sendiri. Oleh itu, jangan buat silap, jangan buat salah.

Saya boleh menerima penjelasan bahawa Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi zakat kepada Orang Asli yang diIslamkannya. Saya rasa penjelasan itu tak bohong kerana pemberian zakat itu diberi secara terbuka, tidak sorok-sorok dan wang juga diberi tanpa dibungkus atau dimasukkan dalam envelope.

Melainkan orang bodoh, tidak ada siapa pun akan menumbuk rusuk secara terbuka seperti itu. Biasanya, kalau nak tumbuk rusuk, orang akan beri secara sembunyi seperti yang diceritakan dalam liputan Merdeka Review 2/11/10 "Perarakan Satu Malaysia: Satu orang, satu ratus ringgit". Bagi zakat tak perlu sembunyi-sembunyi.

Bagi zakat memang bagus dan ia tidak kira masa. Tetapi saya rasa ada satu lagi ajaran Islam yang lain iaitu mengelakkan fitnah. Seikhlas mana pun niat dalam hati dan sesuci mana pun pemberian zakat itu, tetapi jika dihulurkan ketika kempen pilihan raya, ia pasti menimbulkan fitnah. Janganlah mengundang bala walaupun nak cari pahala.

Kebaikannya hanyalah apabila kita diperi hiburan percuma apabila membaca berita Malaysiakini hari ini bertajuk "Perkasa buat laporan polis terhadap Nik Aziz".

Sejak malam tadi lagi apabila beberapa blog Umno membantai atau mempersendakan perkara tersebut (sila lihat di sini, di sini dan di sini), saya menjangkakan Utusan Malaysia pasti membantai perkara itu. Bagai di duga, tersiarlah berita bertajuk "SPR teliti tindakan Nik Abdul Aziz beri wang kepada Orang Asli" dalam Utusan hari ini.Link
Tidak fasal-fasal terpaksa dijelaskan dalam berita Harakahdaily hari ini "Orang Asal diberi wang zakat selepas masuk Islam", "Takkan beri zakat rasuah" dan "‘Sogokan’ jadi isu hari akhir kempen". Persoalannya, berapa orang baca penjelasan dalam Harakahdaily itu? Dan, berapa ratus ribu orang pula yang membaca berita Utusan itu, tidak kira sama ada edisi bercetak atau edisi onlinenya?

Adakah PAS mempunyai cukup masa untuk memberi penjelasan mengenai perkara itu kepada mereka yang dihidangkan dengan cerita "rasuah PAS" di Galas? Pilihan raya pun macam urusniaga jugak - time is of the essence. Tu belum lagi cerita tentang perangai bodoh tak bertempat dan gatal mulut sangat nak berlagak fasal duit tambang RM250 atau memungkiri janji tak nak hentam Tengku Razaleigh Hamzah. Kalau tak reti tunai janji, jangan berjanji.

Sebelum ahli dan penyokong PAS nak marah sangat dan, bagai biasa, bersedap-sedap memfasiqkan aku dengan memperalatkan ayat 6 Surah al-Hujurat (aku pun tak larang hampa nak fasiqkan aku), cuba tanya dengan ikhlas kepada diri sendiri - macam mana kalau Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghulurkan duit yang bertelanjang tak bertutup itu kepada Orang Asli?

Tolonglah! Masa dalam kempen pilihan raya amat singkat. Janganlah buat perkara yang mendatangkan fitnah yang akhirnya akan mencukai masa yang ada untuk menyerang lawan.
Gambar ihsan Minaq Jinggo

Read On 20 comments

Bila Gabenor Bank Negara tak nak ulas mengenai KLIFD

Ada seorang pembaca menghantar email kepada saya mengenai berita Malaysian Insider 26/10/10 lalu bertajuk "Zeti: 2 mega Islamic bank licences likely". Beliau meminta saya melihat perenggan ke empat berita itu yang menyatakan:
Meanwhile, on the proposed RM26 billion Kuala Lumpur International Financial District (KLIFD) project, a high-end mega property project which will include the development of a world-class financial hub, Zeti declined to comment on the central bank’s preparation for the project.
Beliau mempersoalkan mengapakah Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz enggan mengulas mengenai Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD)?

Adakah ia bermakna Bank Negara tidak tahu mengenainya? Atau Bank Negara tak nak ambik tau? Atau adakah Zeti sebagai pakar ekonomi dan Gabenor Bank Negara tahu bahawa projek KLIFD itu membazirkan wang dan tidak akan menyumbang apa-apa kepada industri perbankan Malaysia?

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin ada jawapannya. Beliau juga mungkin boleh menjawab mengapa beliau masih belum lagi tampil dengan perancangan yang tidak diperlekehkan hatta oleh orang-orang Umno sendiri.
Read On 4 comments

Insya Allah, Hamidah akan gesa Najib dan Umno sokong hudud

Salah satu perkara yang menyeronokkan saya apabila tiba pilihan raya ialah apabila persoalan hudud dibangkitkan. Ia dengan sendirinya bermakna undang-undang Allah s.w.t. tetap menjadi tajuk yang diperkatakan. Walaupun sistem dan undang-undang Allah bukan setakat hudud sahaja, sekurang-kurangnya orang tak lupa dan tidak buat-buat lupa tentang undang-undang Allah bila mereka terjerit-jerit fasal hudud.

Lantak pi lah apa pun niat depa, undang-undang Allah sekurang-kurangnya diperkatakan dalam perebutan kuasa. Umno dan Barisan Nasional (BN) menggunakan hudud untuk menekan DAP. Umno bersyarah tentang sikap DAP menolak hudud untuk menimbulkan kebencian orang-orang Melayu terhadap parti itu. MCA pula menyalak dengan dakwaan bahawa DAP menyokong hudud untuk menjauhkan orang-orang Cina dari parti itu.

Mereka terus mempopularkan undang-undang Allah walaupun undang-undang untuk untuk kesejahteraan manusia dijadikan bahan untuk menakut-nakutkan pengundi oleh Umno dan BN. Sama ada Allah suka atau tidak apa yang mereka lakukan itu, itu bukan perkara yang saya hendak tulis. Biarlah Allah sendiri yang memberitahu perkara itu kepada Umno dan BN di Hari Perhitungan nanti.

Yang saya nak tulis ialah mengenai sikap orang-orang Islam sendiri tentang hudud.

Malaysiakini semalam melaporkan berita bertajuk "Wanita Umno dares DAP to support hudud". Kepada saya, jika DAP, MCA, Gerakan, MIC, Apco Worldwide atau Yahudi Zionis tak sokong hudud, itu bukan berita. Apa nak terkejut terbeliak sangat kalau orang-orang bukan Islam tak sokong hudud?

Yang lebih mustahak untuk diketahui ialah sikap Umno sendiri terhadap hudud. Sebelum pilihan raya 2008, tidaklah hairan sangat kalau para pemimpin Umno berebut-rebut memberikan pandangan yang negatif terhadap undang-undang Islam. Tidaklah menghairankan kalau Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil sikap menghina dan menentang undang-undang Islam dan begitu lancang mulutnya berkata "negara akan huru-hara sekiranya undang-undang Islam dilaksanakan".

Maklumlah, pada masa itu, terutama dalam pilihan raya umum 1999, para pemimpin Umno dan BN terus hidup mewah merembat harta negara dan menjadi fat cat dengan undi orang-orang bukan Islam. Kesedapan terlampau Umno BN dengan sokongan pengundi-pengundi Cina dan India sudah sampai ke peringkat lupa daratan. Malah, kerana terlalu gian kepada undi orang-orang Cina dan India, tanpa segan silu Umno mengkhianati orang-orang Melayu Islam dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya 2003. Sampai begitu sekali jahatnya Umno.

Tetapi sejak selepas pilihan raya umum 2008, senario politik sudah berubah. Umno kini sudah tidak memerlukan undi orang-orang Cina dan India. Oleh kerana Umno tidak perlukan lagi undi orang-orang Cina dan India, saya yakin sudah sampai masanya Najib sebagai Presiden Umno menyatakan pendirian partinya menyokong hudud. Besarlah harapan saya agar Ketua Penerangan Wanita Umno Malaysia, Datuk Hamidah Osman menggesa Najib dan Umno supaya menyokong hudud.

Kalau Umno tak setuju dengan apa yang Tun Dr Mahathir Mohamad sebut sebagai hudud PAS, buatlah hudud Umno. Asalkan berteraskan al-Quran dan Sunnah, saya yakin orang-orang PAS tidak ada halangan untuk menyokong hudud Umno.

Kepada Hamidah, kerja baik tak elok bertangguh. Menyokong hukum Allah adalah kerja baik yang dilakukan orang baik-baik. Saya yakin beliau jenis yang suka berlumba-lumba mengerjakan kebaikan. Tunggulah, sehari dua ini kita akan mendengar beliau menggesa Najib dan Umno menyokong hudud. Insya Allah.

Hamidah tentu tak suka kalau orang kata, "kena tunggu babi boleh terbang dulu sebelum kita dengar Hamidah menggesa Najib dan Umno menyokong hudud".
Read On 7 comments

Pemilihan PKR: "Khir Toyo" mendahului

Ketika demonstrasi-demonstrasi Reformasi membara hujung 90an dahulu, saya tak menyertainya. Pertama kerana saya tidak suka Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak dia menyertai Umno pada hujung Mac 1982. Kedua, kerana saya takut tak dapat pahala.

Beberapa tahun selepas itu, saya berjumpa dengan ramai kawan yang menghangatkan demonstrasi-demonstrasi itu, bukan sahaja dari kalangan mereka yang terpesona dengan sosialisme malah dari kumpulan mereka yang disebut sebagai "Daim boys". Daim tu Tun Daim Zainuddin la.

Untuk maklumat, sebelum Anwar diusir dari Umno, selalu berlaku perebutan dan pertentangan antara "Daim boys" dan orang-orang Anwar, terutama dalam merebut habuan ekonomi. "Daim boys" biasanya menjadi pemenang kerana menurut mereka "Anwar boys are stupid".

Berbalik kepada demonstrasi tersebut, orang-orang yang tidak menyokong Anwar berhujah bahawa mereka menyertai demonstrasi-demonstrasi itu bukan kerana mereka menyokong Anwar. Tetapi, kerana "itulah peluang terbaik untuk menjatuhkan Umno".

"Kami duduk dalam tu. Kami kerja dengan mereka. Kami tau la Umno ni jahat sangat-sangat," kata salah seorang "Daim boys" yang saya temui.

Belajar dari pengalaman mereka, saya la ni sentiasa berusaha melakukan apa yang termampu untuk memastikan pembangkang menewaskan Umno. Bukan kerana saya suka pembangkang, tetapi kerana saya benci sangat kat Umno. Dan, saya juga selalu memberitahu kawan-kawan bahawa kalau Umno kalah sekalipun, kerja kita tak habis. "Kita kena berlawan dengan puak yang menang tu pulak".

Hari ini, bila membaca berita bertajuk "Kesilapan data: Azmin pula mendahului", saya teringat kata-kata seorang pemimpin Pakatan Rakyat (PR) di peringkat pusat. Bila saya tanya bagaimana kalau Azmin Ali yang menjadi Timbalan Presiden PKR, terkejut saya bila dia jawab, "Baik orang PKR pakar-pakat bagi jawatan tu kat (Datuk Seri Dr Mohamad) Khir Toyo ja!"

Saya juga semakin yakin bahawa "kerja kita tak habis. Kita kena berlawan dengan puak yang menang tu pulak".

Lagu-lagu mana pun, kita kena patah-patahkan kekuatan dan kalahkan mudharat yang lebih besar dan lebih bahaya dulu - iaitu Umno. Itu kerja utama kita.

Berkaitan:
Battle for PKR No 2 post takes another twist (FMT 1/11/10)
Read On 19 comments
 

Jangan biarkan mereka!

Preview
Klik di sini untuk membantu

Kawan-kawan

Medic & Beauty Spa

Untuk bekalan santan dan buah-buahan sekitar Kuala Lumpur dengan harga wajar, sila hubungi Abang Zali 019-2314248 (Pasar Chow Kit)



Dapatkan segera!!!
Maklumat lanjut di sini!

Cantik? Klik di sini

Sila klik imej di atas

Video Menarik

Pastikan kehadiran anda!

Arkib

Bloggers for Nurul

Lawan ISA!

Bantah ISA di sini!

Terima kasih!

View blog authority

hit counters

Counter ini dibubuh pada siang 8/11/08 start dari kiraan e-referer yang entah apa-apa

AddThis Feed ButtonAdd to Technorati Favorites Check PageRank
Participating for Allah s.w.t.

Kawan-kawan

Untuk pembinaan, ubah suai rumah dan lain-lain kerja untuk memulih atau menaik taraf rumah anda termasuk kerja-kerja plumbing dan pendawaian elektrik, sila hubungi Abang Omar 019-3344500

Bukan saya yang buat. Bukan saya yang jual. Tetapi saya dah makan sakan dah. Bagi saya sedapnya ya Rabbi! Dan, boleh buat duit sakan! Klik gambar di atas untuk maklumat lanjut! - bakaq a.k.a. ~penarik beca

Terima kasih!

Sejak 26/11/2007

About me | Author Contact | Powered By Blogspot | © Copyright  2008