Sedap!! Klik gambar di atas!

"Perjanjian Pangkor" anti-Perlembagaan

Dengan penuh 'izzah, Fasal 5 Perlembagaan PAS menyatakan:
Tujuan atau matlamat perjuangan PAS ialah memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup lslam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah serta mempertahankan kesucian lslam, juga kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Dengan itu, dasar yang diperjuangkan oleh PAS ialah lslam dengan seruannya ialah Allahu Akbar.
Setelah bertanya beberapa pihak termasuk peguam, menurut amalam demokrasi, saya difahamkan bahawa PAS berhak mempunyai matlamat perjuangan sedemikian. PAS juga berhak menawarkan matlamat perjuangannya itu kepada rakyat negara ini. Hak tersebut tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa pun.

Bagaimanapun, menurut amalan demokrasi juga, PAS tidak ada hak untuk memaksakan matlamat perjuangan itu ke atas sesiapa pun. PAS hanya boleh menawarkan. Dan, saya kira, itulah yang dilakukan oleh PAS selama ini apabila secara konsisten ia menyertai pilihan raya di negara ini sejak tahun 1959 lagi.

Selain dari itu, Perlembagaan Malaysia yang sering disebut sebagai undang-undang tertinggi negara ini menjamin kebebasan bersuara untuk setiap rakyat Malaysia. Ia dengan sendirinya bermakna PAS, ahli-ahli dan penyokongnya tidak boleh dihalang dari menyatakan keinginan mereka untuk mewujudkan sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup lslam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah serta mempertahankan kesucian lslam, juga kemerdekaan dan kedaulatan negara. Tidak kiralah kadang-kadang disebut negara Islam, walaupun perkataan negara Islam tidak terdapat dalam fasal itu.

Oleh itu, sebarang perjanjian atau undertaking yang ditandatangani oleh mana-mana pihak yang menyatakan bahawa "I hereby undertake" untuk tidak membuat apa jua pernyataan mengenai negara Islam atau hukum hudud adalah bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia.

Oleh kerana itu, sebarang undertaking yang terdapat dalam "Perjanjian Pangkor" di Perak baru-baru ini bukan sahaja bercanggah dengan peruntukan mengenai kebebasan bersuara di dalam Perlembegaan Malaysia malah bersifat anti-perlembagaan dan pihak yang menyediakan undertakings itu hakikatnya menunjuk samseng dan kurang ajar kepada Perlembagaan Malaysia yang sering mereka dakwa sebagai dihormati.

Sebarang ucapan bahawa mereka menghormati Perlembagaan Malaysia biasanya tidak dipercayai kerana dengan jelas mereka sering kelihatan tidak menghormati banyak fasal dalam Perlembagaan Malaysia, contohnya Perkara 3 (1), Perkara 153(1), Perkara 160(2), Perkara 152, Perkara 32 dan Perkara 38(1), Jadual Kelima. Malah, perbuatan memaksakan "Perjanjian Pangkor" itu juga merupakan pencabulan yang sangat ganas dan kurang ajar ke atas Perlembagaan Malaysia.

Oleh kerana "Perjanjian Pangkor" tersebut bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia, anti-perlembagaan, menunjuk samseng kepada Perlembagaan Malaysia serta pencabulan yang sangat ganas dan kurang ajar ke atas Perlembagaan Malaysia, ia tidak boleh dipatuhi oleh mana-mana pihak sekalipun, termasuk pihak yang tanpa berfikir dengan sewajarnya menjadikan diri mereka sebagai terpaksa menantangani perjanjian itu dan mempersetujui segala undertakings yang terdapat dalam perjanjian itu.

Sambil mengulangi penegasan bahawa "Perjanjian Pangkor" itu tidak sah (null and void) di sisi Perlembagaan Malaysia, saya juga menyatakan kekesalan ke atas sikap tidak cerdik pihak yang bersetuju menandatangani segala undertakings dalam perjanjian yang membuktikan jahat dan celakanya pihak yang menyediakan perjanjian itu.

Mereka gagal melakukan tindakan cerdik seperti yang dibuktikan oleh PKR di Kedah, tidak kira sama ada kita suka atau tidak. PKR di Kedah, yang terkenal hampir tidak ada ahli dan kalau ada pun tidak habis-habis berkelahi, bukan sahaja tidak menandatangani sebarang perjanjian, malah berjaya mendapatkan tiga jawatan Exco walaupun mempunyai hanya empat kerusi Dewan Undangan Negeri. Mereka cerdik, sama ada kita marah atau tidak.

Sehubungan dengan itu, untuk memastikan agar peristiwa jahat "Perjanjian Pangkor" itu tidak berulang lagi, segala tenaga mestilah digerak dan dikerahkan mulai sekarang untuk memastikan PAS akan mempunyai lebih banyak kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Perak selepas pilihan raya umum ke-13 akan datang. Saya juga akan membantu sedaya-upaya untuk memastikan matlamat itu tercapai mengikut cara saya sendiri dan dengan duit saya sendiri, tidak kira sama ada saya diterima atau tidak, sama ada dibenarkan atau tidak.

PAS bagaikan masjid tempat saya menumpang sembahyang, walaupun sekadar di kaki lima atau di tangga masjid. Menurut amalan demokrasi, saya mempunyai hak untuk membantunya.

Other blogs updates (updates blog-blog Bahasa Melayu lain di sidebar blog ini)
Artikel-artikel mengenai Islam di sini
Promosi Umrah RM4250!!
Hope2Walk - Tabung Harapan Annisa & An-Nur
Saya dah cuba yang lain. Tapi yang ni yang best sekali. Sedap sungguh! Sila klik imej di atas.
Suami perkasa, isteri segar menawan, anak pintar cerdas. Klik di sini.

  1. Wahai Penarik Beca yang cerdik,
    Saya duk rasa yang Perjanjian Pangkor ni merupakan satu helah oleh kuasa asing waktu itu untuk menjerat dan menjajah tanah air umat Islam waktu itu dari Turki sehingga Maluku.

    Bukanlah pengkhianat raja yang tandatanganinya tetapi kejahilan kita terhadap kejahatan asing yang rakus, zalim, tamak dan berkomplot.

    Ia juga tidak perlu bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia, kerana dua sebab:

    1) Perlembagaan Malaysia belum wujud masa itu.

    2) Perancangan jahat tersebut mengkhianati semua perlembagaan manusia insaniah yang luhur dan baik sehingga kerajaan Cina Hong Kong pun ditipu dan diganjakan oleh British.

    Adalah diharapkan kita kali ini amat cerdik terhadap kuasa asing dan jangan biarkan peniupuan atas penipuan terus berlaku. Hendaklah kita senantiasa tahu siapa musuh kita dan kawan kita serta bermuafakat untuk maruah bangsa dan agama.

    Peace!

    Redhuan D. Oon

  2. Allahu Akbar!

  3. bang bakaq bantulah sebagaimana Faisal Tehrani pun nak bantu parti nih supaya tak jadi parti pinggan mangkuk.

  4. Redhuan

    kutu wrote about "Perjanjian Pangkor". Not Perjanjian Pangkor signed on 20th February 1874.

  5. masa perjanjian Hudaibiyah dulu, ramai Sahabat yang menentang keputusan Rasulullah SAW..

    namun terbukti Perjanjian Hudaibiyah yang berat sebelah tu memberi manfaat kepada Kerajaan Islam Madinah pimpinan Rasulullah SAW..

    Anta kena yakin dengan kepimpinan Ulama PAS Perak

  6. Bendahara Tun Perak yang saya hormati dan selalu saya baca buah fikiran Tuan,

    Apakah kandungan Perjanjian Hudaibiyyah? Berikut ialah petikan yang saya perolehi:

    "Dengan nama Tuhan. Ini perjanjian antara Muhammad (s.'a.w.w.) dan Suhail bin 'Amru, perwakilan Quraisy. Tidak ada peperangan dalam jangka waktu sepuluh tahun. Siapapun yang ingin mengikuti Muhammad (s.'a.w.w.), diperbolehkan secara bebas. Dan siapapun yang ingin mengikuti Quraisy, diperbolehkan secara bebas.

    "Seorang pemuda, yang masih berayah atau berpenjaga, jika mengikuti Muhammad (s.'a.w.w.) tanpa izin, maka akan dikembalikan lagi ke ayahnya dan penjaganya. Bila seorang mengikuti Quraisy, maka ia tidak akan dikembalikan.

    "Tahun ini Muhammad (s.'a.w.w.) akan kembali ke Madinah. Tapi tahun depan, mereka dapat masuk ke Mekkah, untuk melakukan tawaf disana selama tiga hari. Selama tiga hari itu, penduduk Quraisy akan mundur ke bukit-bukit. Mereka haruslah tidak bersenjata saat memasuki Makkah"

    Apa pula manfaat Perjanjian Hudaibiyyah? Ini yang saya jumpa:

    1. Bebas dalam menunaikan agama Islam
    2. Tidak ada teror dari Quraisy
    3. Mengajak kerajaan-kerajaan luar seperti Ethiopia untuk masuk Islam.

    Perjanjian Hudaibiyyah menyatakan kebebasan dengan terang dan jelas. "Perjanjian Pangkor" membunuh kebebasan bersuara.

    Saya berharap tidak ada sesiapa lagi yang menyamakan "Perjanjian Pangkor" yang memancung hak bersuara untuk bercakap mengenai Negara Islam dan hukum hudud, tak kiralah dalam apa jua cara.

    Takut-takut menghina kebijakasanaan RasuluLlah s.'a.w.w. yang dikasihi.

  7. maksud saya Nabi SAW mengajar kita supaya BIJAK dalam berdakwah..itu pengajaran yang saya perolehi dari perjanjian Hudaibiyah...

    Maka kita kena BIJAK dalam berpolitik seperti Nabi SAW...

    Ulama mesti faham akan hal ini..

    Saya tidak menyamakan dua perjanjian ini CUMA nak kita ambik pengajaran..

    Wallahualam

  8. Tiada sebarang bentuk perjanjian yang ditandatangani oleh ketiga2 parti alternative di Perak sewaktu menang dalam PRU12 tempohari.

    Saudara nampaknya mengelirukan orang ramai khususnya dari akar umbi PAS Perak itu sendiri. Amat malang apabila blog saudara dijadikan pentas untuk mereliasasikan sifat hatred yang tidak tentu pasal terhadap pimpinan PAS Perak.

    Apakah terdapat kemelut dan halangan yang dihadapi oleh PAS Perak dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap usaha menyampaikan da’wah pada hari ini? Kalau diteliti dengan scenario sekarang, PAS Perak dan juga pendukung serta ahli2 da’wah bebas menjalankan kegiatan da’wah diantaranya ialah program2 di Masjid2 yang dahulunya tidak dibenarkan sama sekali oleh Kerajaan Perak yang terdahulu. Ini merupakan 1 kemenangan besar untuk para penda’wah..

    Dalam PRU12 baru2 ini PAS merupakan parti yang mendapat jumlah kerusi DUN yang tersedikit berbanding PKR dan DAP. Namun bila wakil PAS dilantik sebagai Menteri Besar, ramai pihak yang berbangga selain ramai juga yang terkejut dan tidak puas hati samada dari golongan yang sememangnya amat tidak menyukai PAS dan juga dari within orang2 PAS sendiri yang mungkin mempunyai agenda mereka tersendiri. Allahualam…

    Apakah dengan tindakan mensensasikan issue perlantikan Menteri Besar dari PAS ini oleh orang PAS sendiri boleh menguntungkan perjuangan PAS? Tolong beri at least 1 contoh.. dan tolong nyatakan juga apakah bentuk kerugian kepada PAS diatas perlantikan ini? Apakah saudara lebih suka PAS sekadar menjadi parti yang memperjuangkan fasal 5 perlembagaan PAS sahaja semata2..? Mengapa tidak mahu PAS menjadi parti yang dinamik dalam menempuh seribu satu macam arus pemodenan di zaman yang semakin maju ini?

    PAS sedang menuju ke peralihan zaman dari zaman memperjuangkan Islam semata2 kepada perjuangan terhadap issue2 yang lebih luas tetapi masih berlandaskan Islam..

    Saya menyokong usaha saudara untuk memastikan lebih banyak kerusi DUN untuk PAS pada PRU13 akan datang, InshaAllah..

    Tetapi janganlah dijaja perkara2 yang tidak benar apatah lagi issue2yang sudahnya akan merugikan PAS dan menyebabkan PAS ditakuti oleh orang Islam sendiri.

    Kalau kita benar sayangkan PAS maka hendaklah kita berusaha untuk menghidupkan PAS agar PAS lebih mudah diterima dan mendapat tempat dihati lebih ramai rakyat Malaysia.

    ALLAHUAKBAR!!!

  9. Bakaq,
    Hang kena belajar banyak lagi le.
    Banyakle bendanya dapat dibuat dengan 'Perjanjian hudaibiyah' oii. Hang dah start boleh beri ceramah kat masjid. Hang dah boleh terang tentang keadilan Islam. Hang dah boleh buka SAR dan Sekolah Agama Izzudin. Kalau orang Islam kat Perak pun belum paham Islam, hang nak suruh DAP paham Islam?
    Bakpe hang tak pertikai nabi buang Muhammad Rasulullah tu. Musyrikin tak setuju tu. Nabi takut musyrikin ke.
    Yang Kelantan, solid-molid PAS memerintah pun takleh buat hudud. Apa yang harap nak buat dengan 6 orang wakil rakyat?
    Tempoh 5 tahun 'perjanjian hudaibiah' ni hang kena ambil kesempatan buat kerja, bukannya bercakap saja. Tunjukkan keadilan Islam, tunjukkan good governance, tunjukkan mesra rakyat, tunjukkan anti rasuah. Tunjukkan itu semua dengan perbuatan bakaq.
    Yang hang nak glamour cakap saja tu pasai apa? kena belajar dengan Ustaz Azizan di Kedah jugak. Buat kerja dalam senyap.

  10. Bakaq,

    Hang paham tak apa maksud para ni:
    "Seorang pemuda, yang masih berayah atau berpenjaga, jika mengikuti Muhammad (s.'a.w.w.) tanpa izin, maka akan dikembalikan lagi ke ayahnya dan penjaganya. Bila seorang mengikuti Quraisy, maka ia tidak akan dikembalikan."

    Maksudnya nabi setuju kalau ada orang Islam yang murtad lari ke Mekah dan dilindungi di Mekah oleh keluarga mereka. Tapi kalau ada yang memeluk Islam dan hijrah ke Madinah, dia akan dihantar pulang ke Mekah.

    Awat, nabi tak pikir ke ni tak adil. Paling tidak ini menyekakat kebebasan nak masuk Islam.

    Then, pasal apa nabi setuju? Berbaloi ke sekadar nak buat umrah tahun berikutnya dengan persetuuan ini?
    Kalau ikut hujah hang rasanya tak patut nabi buat gitu. Tapi itulah sunnah. Tempoh 'perjanjian hudaibiah' hang kena ambil kesempatan nak dak dakwah, nak terang islam kat masjid yang hang kena halau dulu tu, nak tunjuk kepimpinan islam dan banyak lagi. Bodoh sangat le kalau tak boleh buat hudud seperkara, hang nak buang satu kerajaan.

  11. Satu lagi Bakaq,
    Yang hang cerita pasal perjanjian tu ada bukti ke tak? kalau sekadar hearsay, maaf le tak boleh adi saksi ke sivil pun. Kes hudud, oang macam ni kena qazaf ni...

  12. salam..

    boleh saya minta keizinan utk ambil entri ni untuk pos kat blog saya?

    salawat & takbir!!

  13. Bendahara Tun Perak yang dihormati,

    Terima kasih kerana memberi kefahaman kepada saya.

    Saya memohon maaf kerana tetap berpendapat, mempersetujui untuk tidak menyebut negara Islam dan hukum hudud, tidak kira dalam apa jua cara yang dikehendaki oleh penjahat yang menyediakan surat undertaking itu, bukanlah satu kebijaksanaan.

    Sdr Bus Pilot yang dihormati,

    Tiada sebarang bentuk perjanjian yang ditandatangani oleh ketiga2 parti alternative di Perak sewaktu menang dalam PRU12 tempohari.

    Jika tidak ada apa-apa yang ditandatangani antara tiga parti atau dua parti alternatif di Perak, Tuhan akan menghukum kaki fitnah, termasuk saya.

    Seperti orang Islam yang lain, saya juga amat takut hukuman Allah. Tetapi, kalau benar saya kaki fitnah, terpaksalah saya menanggungnya kerana itulah bukti keadilan Allah.

    Saudara nampaknya mengelirukan orang ramai khususnya dari akar umbi PAS Perak itu sendiri. Amat malang apabila blog saudara dijadikan pentas untuk mereliasasikan sifat hatred yang tidak tentu pasal terhadap pimpinan PAS Perak.

    Jika saya mengelirukan orang ramai, Allah tidak akan membiarkan saya terlepas begitu sahaja. Allah Maha Adil.

    Blog saya dijadikan pentas untuk mereliasasikan sifat hatred yang tidak tentu pasal terhadap pimpinan PAS Perak?

    Cuba check semua posting saya sebelum ini, berapa kalikah sebelum "Perjanjian Pangkor" saya menulis tentang PAS Perak apa lagi menghentam?

    PAS Perak dan juga pendukung serta ahli2 da’wah bebas menjalankan kegiatan da’wah diantaranya ialah program2 di Masjid2 yang dahulunya tidak dibenarkan sama sekali oleh Kerajaan Perak yang terdahulu. Ini merupakan 1 kemenangan besar untuk para penda’wah..

    Gunakanlah peluang itu untuk menyatakan bahawa PAS menawarkan negara Islam dan perundangan yang bersumberkan al-Quran dan Hadith. Kalau tak buat gitu, Perak tidak akan dapat berfungsi sebagai dynamo yang menghantar cahaya ke negeri-negeri lain. Soal orang nak terima atau tidak apa yang ditawarkan oleh PAS, serahkan kepada Allah.

    Jangan jadikan kemenangan sebagai tanah perkuburan kebebasan bersuara untuk menawarkan negara dan hukum Islam, tidak kira dalam apa juga cara sekalipun.

    ramai pihak yang berbangga selain ramai juga yang terkejut dan tidak puas hati samada dari golongan yang sememangnya amat tidak menyukai PAS dan juga dari within orang2 PAS sendiri yang mungkin mempunyai agenda mereka tersendiri.

    Jika saya yang dimaksudkan golongan penyokong PAS yang tidak suka perlantikan Menteri Besar dari PAS kerana "mempunyai agenda tersendiri", saya pun tak tau apa agenda saya.

    Bagaimanapun, saya harap Saudara sudi membezakan antara "tidak suka perlantikan Menteri Besar dari PAS" dengan menentang "Perjanjian Pangkor". Ia adalah dua perkara yang sangat berbeza.

    Oleh kerana, Allah jua yang menjadi Saksi, saya tidak menentang perlantikan Menteri Besar dari PAS, saya berharap saya tidak perlulah menjawab lain-lain kenyataan dari Saudara.

    Anonymous at 12:09 AM,

    Nak jawab satu saja:

    Yang Kelantan, solid-molid PAS memerintah pun takleh buat hudud. Apa yang harap nak buat dengan 6 orang wakil rakyat?

    Aku pun tak gila nak suruh PAS Perak dgn 6 Adun sahaja buat lebih-lebih. Tapi itu tidak bermakna "Perjanjian Pangkor" patut ditandatangani.

    Anonymous at 12:22 AM

    Hang paham tak apa maksud para ni:
    "Seorang pemuda, yang masih berayah atau berpenjaga, jika mengikuti Muhammad (s.'a.w.w.) tanpa izin, maka akan dikembalikan lagi ke ayahnya dan penjaganya. Bila seorang mengikuti Quraisy, maka ia tidak akan dikembalikan."

    Maksudnya nabi setuju kalau ada orang Islam yang murtad lari ke Mekah dan dilindungi di Mekah oleh keluarga mereka. Tapi kalau ada yang memeluk Islam dan hijrah ke Madinah, dia akan dihantar pulang ke Mekah.


    Kalaupun benar tafsiran hang selepas hang tulis "maknanya" itu, perkara itu dengan jelas memperlihatkan kelicikan strategi da'wah Nabi s.'a.w.w. Hang mesti faham. Mustahil hang tak faham.

    Bodoh sangat le kalau tak boleh buat hudud seperkara, hang nak buang satu kerajaan.

    Aku rasa Anonymous at 12:09 AM, Anonymous at 12:22 AM dan Anonymous at 12:24:00 AM adalah orang yang sama.

    Mula-mula jawab tadi tak sampai hati nak kata hang langsung tak faham apa yang aku tulis. Tetapi, ayat yg aku petik di atas dengan jelas menunjukkan hang tak faham. Tak faham, tak dak cerita la...

    Tapi tak pa la, aku jawab satu lagi kenyataan hang:

    Yang hang cerita pasal perjanjian tu ada bukti ke tak? kalau sekadar hearsay, maaf le tak boleh adi saksi ke sivil pun. Kes hudud, oang macam ni kena qazaf ni...

    Kalau aku berbohong, sila tunjukkan di mana tempat nak hukum qazaf ke atas aku. Demi Allah, aku bersedia.

    Kalau dalam dunia ni tak ada tempat nak jatuhkan hukum qazaf, aku bersedia membuat persiytiharan berkanun dalam mahkamah sivil bahawa aku mahu dijatuhkan hukum qazaf ke atas aku. Kalau aku bohong, aku sanggup semua itu.

  14. Saudara

    Saya bersetuju dengan pendapat saudara bahawa soal samada PAS berhak atau tidak untuk menutujui hasrat mengadakan negara Islam dalam perlembagaannya.

    Pada hemat saya, soal ini tak timbul dan saya fikir ini bukan dipersoalkan oleh sesiapapun atau dipertikaikan olih dimana pihak.

    Dalam prinsip demokrasi, dan dalam undang negara, sesuatu badan bolih wujudkan artikel artikel perlembagaannya yang diluluskan olih ahli-ahli hanya perlembagaan itu tidak bercanggah dengan undang2negara dan keselamatan negara terutamanya perlembagaan.

    Dalam debat isu negara islam baru-baru ini, saya tidak menyedari ada pihak yang pertikaikan perlembagaan PAS. Ini adalah tanggungjawab keselamatan dan pihak Pendaftar badan-badan negara.

    Soalnya sekarang ialah kedudukan PAS dalam pakatan dengan parti politik yang lain. Kalau PAS ingin main peranan yang penting dalam pakatan politik dengan DAP dan PKR yang tidak menyokong konsep negara islam, itu adalah soalan yang perlu dijawab olih PAS sendiri. PAS bolih mengambil tindakannya keluar dari pakatan tersebut atau paparkan PAS dalam pengundian umum sebagai parti di-luar dari pakatan pembangkang.

    Yang apa saya tahu, mengikut pakar pakar undang perlembagaan, didalam Perlembagaan Negara kita, Malaysia di tubuh dalam tahun 1957 sebagai negara sekular dengan agama kita iktiraf sebagara agama resmi. Ini tidak bermakna Malaysia adalah negara islam. Ada perbezaan maksudnya dalam inggeris antara "Islamic state" dan "Islamic country". Kebetulannya, negara kita ialah "islamic country" tetapi bukan "islamic state". Semua kaum dan warga negara bukan islam telah menerima hakikat bahawa Malaysa adalah "islamic country".

    Malaysia tidak bolih menjadi Islamic STATE kalau perlembagaan persekutuan tidak diubah dan untuk diubah, PAS perlu 2/3 majority dalam parlimen persekutuan.

    Walaupun PAS bolih ubah perlembagaan diperingkat negeri untuk melaksanakan "islamic state" konsept, ini tertakluk kepada keizinana dalam perlembagaan negara. Mengikut konsept "Federal Constitution is Supreme."

    Saya tak tahu samada perkataan dalam bahasa melayu maksuk "islamic state" supaya membezakan maksud "islamic country".

    Sama juga, apabila UMNO menyiarkan slogan " untuk kepentingan bangsa...", apakah maksud bangsa.

    Kebetulannya, maksud "bangsa" ialah "nation" atau "nationality" eg Kebangsaan ie bahasa kebangsaan, "national language". Tetapi kebanyakan orang melayu melalui propaganda UMNO mengertikan "bangsa" seperti "race" iatu "ethnicity" atau "keturunan"... seolah olahnya "kepentingan bangsa" menjadikan "kepentingan bangsa melayu" ie Malay race.

    Disini, perlu pakar-pakar bahasa melayu membetulkan salahfahaman rakyat melayu dan rakyat bukan melayu tentang maksud "bangsa".

    BANGSA cina maksudnya orang kerakyatan negara China, juga kenyataan bangsa india, orang kerakyatan negara India.

    Orang cina dan india kerakyatan malaysia sebenar dipanggil Bangsa malaysia keturunan cina. Ini adalah kempen internet yang menyebutkan "ANAK MALAYSIA", yang tidak mengira apakah keturunan.

    kembali isu perlembagaan PAS, ini tidak di pertikaikan olih sesiapa.

    Pada pandangan saya, sebaiknay pimpinan PAS elak menonjol isu Islamic State /negara islam, dalm tempoh sekarang, kalau PAS hendak menang kerajaan persekutuan olih sebab ada implikasi dari segi kemenangan parti diperingkat persekutuan, dari segi politik antarabangsa. Buat masa sekarang UMNO akan main jahat dalam isu negara islam untuk memalukan pemimpin PAS.

  15. Assalamualaikum,

    Pada mulanya saya amat menghargai pandangan, kritikan dan maklumat-maklumat yang terdapat di dalam blog ini. Namun, akhir-akhir ini saya merasakan Saudara Bakaq ni macam menyimpan perasaan dendam tertentu kepada segelintir pimpinan PAS. Dengan menggambarkan dirinya agak rapat dengan beberapa orang pimpinan kanan PAS spt YB Salahuddin, YB Mahfuz, Mat Sabu, Dato Hussam maka Bakaq berjaya menampilkan dirinya sebagai antara 'org dalam' atau 'orang penting' yang mengetahui banyak maklumat dalaman PAS (tak kira benar atau tidak) dan kemudiannya menjadikannya modal untuk menhentam sesiapa sahaja atas alasan kononnya untuk menegur atau memperbaiki PAS. Ditambah dengan latar belakang pernah bekerja di Harakah, maka ramailah yang terpengaruh dengan tulisan bernada kebencian yang dikeluarkan oleh Bakaq dalam blog sampahnya ini.

    Saya tidak nampak apakah dengan memperbesarkan isu kononnya ada wujud perjanjian sulit diantara PAS dan DAP sebagai syarat untuk PAS mendapat jawatan MB, ianya dapat membantu memperkuatkan atau memperbetulkan PAS.

    Tapi Bakaq ni pengecut juga sebenarnya. Dia cuba menonjolkan dirinya sebagai seorang yang telus, berani, no- nonsense, sanggup menegur sesiapa shaja demi mempertahankan perjuangan PAS. Kalau betul-betul berani, SAYA CABAR SAUDARA BAKAQ HAQ @BAKAR RASHID @ PENARIK BECA untuk menyiarkan didalam blognya ini kandungan 'Perjanjian Pangkor' tersebut dengan cara menyiarkan salinan asal dokumen tersebut.

    Juga sila nyatakan secara terus terang siapa yang sign dan siapa yang terlibat didalam perjanjian tersebut. Jangan main perli sahaja.

    Sekali lagi saya ingin bertanya apakah dengan menulis sesuatu yang masih samar-samar faktanya, kemudian membelasah beberapa orang pimpinan parti tanpa disokong bukti yang konkrit, ianya boleh dikira sebagai satu teguran dari seorang ahli PAS yang setia?

  16. salaam,

    penjanjian Hudaibiyyah itu dilakukan sewaktu Islam yang dibawa oleh Nabi itu kuat. Tapi penjanjian Pangkor dilakukan sewaktu Islam yang dibawa oleh PAS-Perak itu maseh lemah berbanding parti2 laen.

    Jadi, menyamakan Hudaibiyyah dengan Pangkor adalah satu tindakan yang tidak memahami konteks. Harus ada alasan laen yang dikemukakan, bukannya menggunakan konteks seerah secara sendeng.

  17. Teruskan Pak Ngah...

    Supaya saya yang juga terdiri daripada akar umbi muslimat- ada perkara yang boleh difikirkan..

    Jangan risau pasal kekeliruan..

  18. Tuan Penarik Beca yang saya hormati..

    Saya hormati pendirian Tuan dan saya sedar niat murni Tuan untuk menegur pimpinan PAS, wadah perjuangan ISLAM yang kita sayangi..

    Walaupun saya kurang sependapat dengan Tuan tentang perjanjian pangkor, di mana saya tetap yakin akan kebijaksanaan PAS Perak.

    Namun, saya berbangga dapat bertukar pendapat dengan Tuan.

    Wassalam..

  19. Tabik! Tabik! Ada komen yg saya tertekan reject. Bukan sengaja. Antara yg saya ingat ialah komen kawan lama, Redhuan Daniel Ooon. Boleh hantar semula.

    Jika dgn sebab tertekan reject itu saya dianggap pengecut, saya terimalah saya ini pengecut.

    Saya terima kasih kepada yang membalun dan menyokong. Kepada yang menyokong, harap buat homework untuk memastikan adakah yang saya tulis dalam blog ini suatu pembohongan disebabkan busuk hati atau sebaliknya.

    Kepada Sdr Abdullah,

    Namun, akhir-akhir ini saya merasakan Saudara Bakaq ni macam menyimpan perasaan dendam tertentu kepada segelintir pimpinan PAS. Dengan menggambarkan dirinya agak rapat dengan beberapa orang pimpinan kanan PAS spt YB Salahuddin, YB Mahfuz, Mat Sabu, Dato Hussam maka Bakaq berjaya menampilkan dirinya sebagai antara 'org dalam' atau 'orang penting' yang mengetahui banyak maklumat dalaman PAS (tak kira benar atau tidak) dan kemudiannya menjadikannya modal untuk menhentam sesiapa sahaja atas alasan kononnya untuk menegur atau memperbaiki PAS. Ditambah dengan latar belakang pernah bekerja di Harakah, maka ramailah yang terpengaruh dengan tulisan bernada kebencian yang dikeluarkan oleh Bakaq dalam blog sampahnya ini.

    Saya bukan orang dalam dan bukan juga orang penting. Bukan, bukan, bukan! Saya dah tegaskan berkali-kali bahawa saya hanyalah penyokong Fasal 5 Perlembagaan PAS.

    Bagaimana saya berpeluang berjumpa dengan beberapa pemimpin PAS? Semua itu kebetulan saja sebab depa selalu pi minum kat Restoran Thaqwa (ejaannya begitu) di Taman Melewar. Saya selalu bersidai di situ.

    Kadang-kadang depa pelawa saya minum sekali dengan depa, siap belanja lagi sebab depa tau saya orang susah. Kadang-kadang kalau depa ada private talk, saya tak dapatlah duduk satu meja dengan depa...

    Mengenai Mat Sabu, dia tak pernah pun anggap saya orang dia. Saya saja yang perasan merasakan diri saya orang Mat Sabu.

    Ada pemimpin, seperti Al-Marhum Ustaz Fadzil misalnya, yang semua orang terasa rapat dengannya, termasuk saya yang selalu minum dengannya. Itulah keistimewaan Al-Marhum. Ramailah yang terasa malah mengaku depa orang Ustaz Fadzil, padahal tak dak apa benda pun.

    Mengenai Husam, saya langsung tidak ada dalam senarainya. Saya kenal baik dengan Sheih (kickdefella.wordpress.com). Melalui Sheihlah saya kadang-kadang terjumpa Husam. Terjumpa, termasuk di KB masa pilihan raya dulu. Itu saja.

    Kalau kelentong saya dalam blog ini bagai menggambarkan saya rapat dengan mana-mana pemimpin PAS, itu tidak disengajakan. Saya sungguh2 memohon maaf kerana mencalarkan nama baik depa kerana gambaran terlebih tulis yang tidak saya sengajakan itu. Saya bukanlah seperti yg telah tersalah gambarkan itu.

    Mengenai kedudukan saya sebagai bekas pemberita Harakah, itu sudah lama. Saya dibuang kerja pada tahun 1990, selepas pilihan raya umum. Saya tidak ada apa-apa perasaan tak puas hati lagi. Dah lama sangat dah. Anak saya yang lahir tahun 1990 pun dah pi belajaq di Dungun dah..

    Lalu bagaimana saya curi maklumat? Kalau dalam kewartawanan, barangtkali itulah yang orang kata rahsia kewartawanan.

    Kepada sesiapa yang pakai taktik lama nak dapat MAKLUMAT FREE dari saya, dengan mencabar saya mendedahkan maklumat, saya mohon maaf sajalah.

    Tidak penting sama ada saya jahat, busuk hati, menaburkan cerita palsu, apa-apa saja. Allah Maha Adil dan saya serahkan diri saya kepada Allah s.w.t. Kalau saya tak menyerah pun, saya bukannya boleh lari dari Allah dan akan tetap dihukum juga atas semua perbuatan saya yg jahat, busuk hati, menaburkan cerita palsu...

    Yg penting, saya harap sangat semua orang menganggap "Perjanjian Pangkor" itu tidak sah, null and void kerana bertentangan dengan kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia.

    Lebih dari itu, semua pihak yang menyokong PAS tetap akan exercise hak kita dengan lebih bersungguh-sungguh lagi untuk bersuara menawarkan Fasal 5 Perlembagaan PAS.

    Saya tidak penting, boleh kutuk saya dan setakat menambahkan kutukan yang sedia ada, apa salahnya.

    Yg penting "Perjanjian Pangkor" must be regarded null and void and we will continue offering Fasal 5 Perlembagaan PAS. It is our absolute democratic right. No one or no party can take it away from us, no matter how many undertakings they force us to sign. Period!

    Yg nak ambik apa-apa saja dalam blog ni, ambiklah. Tapi kena bertanggungjawab sendiri. Jika fitnah, anda akan jadi penyebar fitnah.

  20. Salammun'alaikum,
    Bakaq alHulk, tumpang beca dari pekan kulim ke jalan panchok kena beghapa duit. Zaman perjanjian pangkok seduit saja.
    PRU 12 baru-baru ini, jelas menunjukan bahawa bukan nama pada ideologi (sosialisma, watanisma, islamisma) itu yang berperan tetapi hakikat pada ideologi itu yang berperanan iaitu "Keadilan" Sebenarnya inilah yang berlaku setelah kewafatan ArRasullAllah Nabi Muhammad s.a.w. yang dipelopori oleh Imam Ali karomAllahu wajaha, iaitu menjalankan keadilah illahi. Sudah berapa banyak zaman, bani, khilafah berlalu atas nama menegakkan negara Islam tetapi masih ada berlakunya penindasan dan kezaliman pada zaman, bani, dan khilafah itu. Tetapi keadilan illahi yang di tunjulkan oleh Imam Ali pada ketiga-tiga masa khalifah arrashidun dan juga selepasnya tidak ada tolok bandingnya berjalannya ruh Islam ketika itu sehingga kini. Kita boleh lihat seperti apa yang dilakukan oleh Imam Ali dengan melaksanakan keadilan illahi bermulanya dengan keadilan semulajadi (natural justice) seterusnya dengan keadailan kemanusiaan, keadilan keinsanan, keadilan sosial, keadilan perundangan, dan akhirnya membawa kepada keadilan ketuhan (theological justice) yang mengesakan tuhan dan terus membawa kepada mengenali Allah S.w.t. Keadilan ini semestinya adalah pada hakikatnya bukan sekadar nama sahaja. Pada hakikatnya pada PRU 12yang lepas, disana berlaku amat banyaknya kezaliman atau dengan kata lain berlaku amat banyaknya ketidak adilan, maka natijahnya perubahan yang kita saksikan. Tidak perlulah kita jadikan isu sangat tentang negara Islam lah, negara sekular lah, negara sosialis lah, semuanya sekadar nama saja. Tetapi sebaliknya jika seseorang itu betul-betul menjalan keadilah illahi maka akhirnya ia akan bertemu dengan Islam dunia & akhirat
    Bashir alKulimi
    Proud citizen of Jalan Panchok
    Kedah Darul Aman.

  21. Salam Pakcik dan Pencinta Kebenaran,

    NULL N VOID

    Saya tak nampak lagi hujah yang menyatakan "Perjanjian Pangkor" tu null and void. Nak jadikan macam tu, kita mestilah membuktikan sejauhmana kesan-kesan akibat melanggar syarat-syarat perjanjian. Pakcik tak terangkan apakah akibat-akibat yang digariskan dalam perjanjian itu, yang akan menimpa penandatangan jika dia melanggar syarat. Kapasiti penandandatangan juga pakcik tak jelaskan. Samada atas kapasiti peribadi atau jamaah(parti).

    Saya ambil satu contoh mengenai kebebasan bersuara. Seorang pegawai kerajaan memang dilarang dari bercakap mengenai sesuatu isu mengikut perintah am kerajaan. Jika seorang pegawai itu enggan mematuhi arahan am kerajaan, beliau boleh memilih untuk meninggalkan organisasi kerajaan atau bersedia menerima tindakan tataterib. Peraturan ini terpakai dalam semua kerajaan di negara kita, termasuklah Kelantan. Rasional peraturan ini adalah bagi menjamin keutuhan organisasi dan disiplin ahlinya. Seorang tentera di Iran pun tak boleh cakap sembarangan. Peraturan ini diterima secara universal di dunia termasuk Amerika. Tiada ulamak muktabar membantahnya.

    Tetapi jika dikatakan "perjanjian Pangkor" tu bertentangan dengan Perlembagaan PAS, memang jelaslah bertentangan. Bukan itu saja. Ianya bertentangan dengan Quran dan Sunnah.

    Hujah untuk mengaplikasi prinsip-prinsip dalam Perjanjian Hudaibiyah tentulah salah dan semberono. Perjanjian Hudaidiyah tu "between two states", bukan "between two parties within a states". Macamana belajar Usul Fiqh ni? 'Illah dah tak kena. Atau "ratio decidendi" antara dua keadaan tu jauh berbeza.

    Kenapalah tak sentuh mengenai Perjanjian Madinah? Barulah tepat. Between parties within the city states of Yathrib. Kalau mereka nak bertukar hujah, barulah kita boleh sambung. Kalau tak, hanya menambah kekeliruan.

    Kita memang boleh bersikap tidak percaya kepada penandatangan kerana jelas perjanjian tu menyekat kebebasan kita untuk meyakinkan masyarakat tentang negara Islam. Mereka sepatutnya dilaporkan ke PAS Pusat untuk disiasat dan dikenakan tindakan disiplin.

    Bagi yang menyatakan banyak perkara lain yang boleh dibicarakan selain Fasal 5, nampaklah mereka tidak memahami Fasal 5. Macam orang kata selain Quran dan Sunnah banyak perkara-perkara lain yang bersifat universal yang boleh kita ketengahkan. Jangan hanya terhenti kepada Quran dan Sunnah sahaja. Orang begini buta Quran dan buta Sunnah. Kalau mereka faham Quran dan Sunnah, mereka takkan cakap begitu melainkan mereka adalah orang yang tidak beriman dengan Quran dan Sunnah.

    Jangan lupa strategi Inggeris. Bila Inggeris memperkenalkan undang-undang Inggeris, mereka gunakan alasan yang sama. Mereka kata kita tak boleh pakai undang-undang China atau India. Nanti orang Melayu Islam marah. Kita tak boleh pakai Undang-undang Islam. Nanti orang China dan India marah. Kita pakailah undang-undang Inggeris kerana ianya berasaskan nilai-nilai universal. Sedangkan sampai sekarang, majoriti orang Islam, China dan India tak faham pun undang-undang Inggeris.

    Macam Anwar Ibrahim memperbodohkan pemimpin PAS lah. Dia kata kalau ikut slogan DAP "Malaysian Malaysia" nanti orang PAS akan marah. Kalau guna slogan PAS "Negara Islam" nanti orang DAP marah. Kita gunalah slogan ciptaan politik Anwar Ibrahim. Semua boleh setuju. Berulanglah sejarah hitam ummat Islam walaupun ustaz-ustaz PAS yang tersengeh-sengeh dengan menyetujui Anwar Ibrahim tu memakai serban putih.

    PAS bukanlah parti kepunyaan pemimpin. Bukan pula kepunyaan ahli. PAS adalah warisan dari perjuangan Nabi kita Muhammad saaw.

    Prinsip mengatasi tokoh.
    Tokoh tidak boleh mengatasi prinsip.
    Andai tokoh melanggar prinsip, yang musnah adalah tokoh dan pengikutnya.
    Prinsip tetap teguh walau dilanggar atau dilupakan.

    Salawat

  22. Perjanjian pangkor? sekiranya benar-benar berlaku...justifikasikanlah tindakan itu dengan apa sekalipun..bijaksana ker, toleransi ker atau apa sekalipun..pada aku ia hanyalah 'tentang keinginan kepada kuasa'

Post a Comment

 

Jangan biarkan mereka!

Preview
Klik di sini untuk membantu

Kawan-kawan

Medic & Beauty Spa

Untuk bekalan santan dan buah-buahan sekitar Kuala Lumpur dengan harga wajar, sila hubungi Abang Zali 019-2314248 (Pasar Chow Kit)



Dapatkan segera!!!
Maklumat lanjut di sini!

Cantik? Klik di sini

Sila klik imej di atas

Video Menarik

Pastikan kehadiran anda!

Arkib

Bloggers for Nurul

Lawan ISA!

Bantah ISA di sini!

Terima kasih!

View blog authority

hit counters

Counter ini dibubuh pada siang 8/11/08 start dari kiraan e-referer yang entah apa-apa

AddThis Feed ButtonAdd to Technorati Favorites Check PageRank
Participating for Allah s.w.t.

Kawan-kawan

Untuk pembinaan, ubah suai rumah dan lain-lain kerja untuk memulih atau menaik taraf rumah anda termasuk kerja-kerja plumbing dan pendawaian elektrik, sila hubungi Abang Omar 019-3344500

Bukan saya yang buat. Bukan saya yang jual. Tetapi saya dah makan sakan dah. Bagi saya sedapnya ya Rabbi! Dan, boleh buat duit sakan! Klik gambar di atas untuk maklumat lanjut! - bakaq a.k.a. ~penarik beca

Terima kasih!

Sejak 26/11/2007

About me | Author Contact | Powered By Blogspot | © Copyright  2008